1. Mengambil kira akan permakluman mengenai Larangan Berbasikal di Lebuh Raya semasa sesi Mesyuarat Pertama Musim Permesyuaratan ke-22, Majlis Mesyuarat Negara pada 26 Mac 2026. Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) sekali lagi ingin menasihatkan kepada orang ramai terutama sekali kepada penunggang-penunggang basikal mengenai kawalan keselamatan pengguna basikal di Jalan raya. Langkah ini adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian khususnya bagi penungang-penunggang basikal.
2. Dari statistik kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa khususnya bagi penunggang-penunggang basikal semenjak 5 tahun kebelakangan adalah seramai 6 orang, ini tidak termasuk mereka- mereka yang mengalami kecederaan serius yang memberi kesan kepada kehidupan individu dan keluarga. Perkara ini amatlah membimbangkan dan memerlukan tindakan-tindakan yang bersesuaian bagi mengelakkan perkara-perkara seperti ini berlaku.
3. Dalam hubungan ini, tidak juga dapat dinafikan bahawa pemandu- pemandu kenderaan memainkan peranan penting untuk menjamin keselamatan setiap penguna jalan raya. Langkah-langkah untuk memperketatkan lagi hukuman-hukuman bagi kesalahan memandu secara berbahaya dan mengakibatkan kematian juga akan dilaksanakan. Ini termasuk jua kesalahan-kesalahan memandu tanpa lesen memandu dan lesen kenderaan serta insuran yang sah.
4. Tujuan sidang media diadakan pada pagi ini adalah untuk mengongsikan butiran lanjut tentang cadangan laluan-laluan alternatif bagi penunggang-penunggang basikal terutama sekali kepada sport cyclists. Cadangan laluan alternatif ini mengambilkira berkonsepkan 'share the road' bagi semua pengguna jalan raya.
5. Dalam hubungan ini, pihak Majlis ingin memaklumkan mengenai dengan cadangan larangan berbasikal yang melibatkan laluan-laluan jalan raya yang mempunyai had laju lebih daripada 65km/jam yakni jalan-jalan yang mempunyai had kelajuan 70km/jam, 80km/jam dan 100km/jam. Laluan-laluan jalan raya ini adalah seperti berikut:-
i. Lebuhraya Sultan Hassanal Bolkiah
ii. Lebuhraya Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah
iii. Lebuhraya Muara-Tutong
iv. Lebuhraya Tutong -Telisai
v. Lebuhraya Telisai-Lumut
vi. Lebuhraya Lumut-Belait
vii. Lebuhraya Rimba
viii. Lebuhraya Tungku
ix. Lebuhraya Tungku Jerudong
6. Laluan-Laluan Jalan raya ini telah dikenalpasti dan dikategorikan sebagai Laluan berisiko tinggi kepada penunggang-penunggang basikal. Larangan ini juga telah mengambilkira akan amalan terbaik di negara-negara lain yang menghadkan aktiviti berbasikal dilaluan berkelajuan tinggi bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
7. Dalam pada itu, mana-mana acara dan kegiatan sukan berbasikal yang perlu menggunakan laluan-laluan tersebut boleh dipertimbangkan dan perlu menyediakan langkah-langkah keselamatan yang lengkap dan sesuai. Mana-mana acara dan kegiatan sukan berbasikal ini perlu mendapat sokongan daripada badan-badan sukan yang diiktiraf dan permohonan dihadapkan bagi pertimbangan MKKJR.
8. Buat ketika ini dan sebagai tindakan jangka masa pendek, laluan- laluan alternatif aktiviti berbasikal yang diperkenalkan di empat-empat daerah adalah seperti berikut. Ini adalah sebagai langkah kehadapan serta bagi menyokong gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal.
| Daerah | Rangkaian laluan alternatif untuk aktiviti berbasikal |
Brunei dan Muara | - Laluan Stadium (setiap hari);
- Laluan di sepanjang Jalan Perdana Menteri, Jalan Ong Sum Ping, Jalan Kebangsaan dan Jalan Menteri Besar, untuk diadakan pada setiap hari Rabu (malam) dari jam 8 hingga 12 malam sebagai projek rintis;
Laluan BandarKu Ceria (BKC), dengan cadangan rangkaian berbasikal BKC diperluaskan.
|
| |
| Tutong | Laluan Kawasan Bukit Bendera |
| Belait | Laluan menuju Kargo Dam, Jalan Labi |
| Temburong | Laluan Jalan Pekan Bangar |
9. Laluan-laluan yang telah dikenalpasti tersebut akan disusuli dengan perlaksanaan pemasangan tanda-tanda jalan raya (road signage and marking).
10. Semua pengguna jalan raya khususnya pemandu-pemandu kenderaan jalan raya perlu menghormati tanda-tanda jalan raya dan peraturan-peraturan jalan raya terutamanya mengenai dengan pematuhan had laju jalan raya.
11. Bagi jangka masa panjang, pihak Majlis akan merangka piawaan laluan-laluan jalan raya yang sesuai untuk berbasikal. Ini melibatkan perbincangan dan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Kerja Raya dan Persatuan Berbasikal Negara Brunei (BDCF). Ini juga termasuk perbincangan bagi mengatasi keterbatasan dari segi peruntukan road reserve terutama sekali untuk pelaksanaan laluan basikal.
12. Sebagai nasihat kepada penunggang-penunggang basikal, sukacita disarankan agar garis pandu untuk menunggang basikal hendaklah sentiasa dipatuhi sebelum dan semasa berada di jalan raya. Antara garispanduan dan amalan terbaik adalah seperti berikut:
i. Merancang laluan yang akan digunakan,
ii. Memastikan keadaan tayar dan tekanan (pressure) tayar dalam keadaan baik,
iii. Memastikan brek tayar berfungsi dengan baik,
iv. Memastikan lampu-lampu yang bersesuaian untuk di gunakan pada siang hari dan pada waktu malam,
v. Memakai helmet yang diiktiraf oleh piawaan antarabangsa,
vi. Memakai pakaian yang berwarn terang (visible bright Colour),
vii. Memastikan keadaan cuaca yang baik; dan lain-lain.
13. Semua pengguna jalan raya disarankan untuk menghormati larangan- larangan dan nasihat-nasihat ini bagi sama-sama menyokong hasrat semua yang menghendaki jalan raya adalah selamat bagi setiap pengguna. Amalan ini selari dengan Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan nyawa, akal dan harta benda kerana keselamatan di jalan raya mencerminkan tanggungjawab setiap individu dalam menjaga kesejahteraan diri dan masyarakat.
14. Sukacita jua dialu-alukan kepada orang ramai untuk menyalurkan sebarang cadangan dan pandangan kepada pihak MKKJR melalui emel MKKJR mkkjr@mtic.gov.bn ataupun pihak Persatuan Basikal Negara Brunei Darussalam (BDCF) bdcf.bn@gmail.com.
15. Dengan ini, saya akhiri sesi sidang media pada pagi ini dengan ucapan ribuan terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Remember! Watch Your Speed, Watch The Road